top of page

Perkembangan Seni Digital Dalam Teknologi Terkini   

Ditulis oleh Intan Noor Qamarina Binti Mohamed Noor

14/02/2023

1.0       Pengenalan

Pada zaman teknologi digital ini, kita tidak dapat lari daripada dunia di hujung jari di mana pendedahan terhadap kemajuan digital di persekitaran menjadi sebahagian kehidupan manusia. Pendidikan global juga semakin maju dengan penyerapan silibus Asas Seni Digital menjadi suatu keperluan seperti silibus-silibus teras lain. Seni digital merupakan seni yang dicipta dengan menggunakan komputer dalam bentuk digital. Seni digital boleh sepenuhnya dihasilkan menerusi komputer seperti gambar diimbas atau dilukis menggunakan perisian grafik vektor menggunakan tetikus atau papan grafik (graphics tablet). Istilah ini biasanya dikhaskan bagi seni yang sebahagian besarnya disunting melalui komputer.

​

2.0       Perkembangan Seni Digital Dalam Teknologi Terkini   

Seni digital mula berkembang pada tahun 1970 di mana perkembangannya selari dengan kemajuan dunia moden yang menggunakan komputer seperti gambar yang dilukis menggunakan perian grafik vektor, Photoshop dan Illustrator.

Visual disunting menggunakan komputer dan gaya baru ini memisahkan pelukis tradisional kerana lukisan digital memiliki palet maya yang mengandungi berjuta-juta warna dan juga mempunyai kanvas yang pelbagai saiz. Bukan itu sahaja, kesilapan yang dilakukan mudah dipadam dan dijana semula serta imej mudah diubahsuai dalam bentuk dua dan tiga dimensi.  (Zaini Aman, 2014)

Hasil perkembangan teknologi komputer dalam menghasilkan seni digital dan reka bentuk digital  telah mengubah cara penghasilan karya dan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) sebelum ini seperti lukisan, gambar dan patung dihasilkan, sementara bentuk-bentuk baru, seperti seni di Internet, seni instalasi digital, dan virtual reality, telah diakui menjadi cara praktikal yang artistik. (Jasni Dolah, 2014)

​

3.0       Kepentingan Komunikasi Visual Dan Seni Digital Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Psv

Pertama sekali, penggunaan seni digital mampu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan hasil pembelajaran dalam proses PdP PSV. Hal ini dikatakan demikian kerana guru dan murid dapat membuat persiapan awal dan berada dalam keadaan bersedia untuk menjalani proses PdP. Melalui cara ini guru dapat mencari maklumat-maklumat berkenaan dengan pengajaran dengan lebih baik serta menyediakan bahan bantu mengajar seterusnya dapat menyampaikan kepada pelajar dengan berkesan dan menarik. Contohnya alat dan bahan seperti Powerpoint, Flash dan video boleh diaplikasikan ke dalam proses PdP PSV. Melalui cara ini proses PdP dapat dijalankan dengan lebih mudah, ringkas dan padat kerana gambaran dan persembahan yang menarik serta mudah untuk difahami dapat membantu pelajar dalam pembelajaran. Justeru, pelajar tidak akan mudah merasa jemu dan bosan dalam menjalani proses PdP kerana tertarik dengan gaya persembahan yang ditunjukkan melalui seni digital.

 

Selain itu, penerapan seni digital dapat menjadikan proses PdP lebih aktif serta mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Hal ini dikatakan demikian kerana guru dapat mempelbagaikan cara mengajar menggunakan seni digital dan bukan hanya tertumpu kepada teknik konvensional sahaja malah terdapat pelbagai kemudahan yang terkandung dalam komputer mampu mempertingkatkan kualiti pengajaran. Melalui penggunaan alat seni digital, guru PSV dapat menerangkan kepada pelajar dengan lebih terperinci serta mendalam mengenai topik-topik yang dipelajari. Contohnya, guru dan pelajar menggunakan Internet sebagai alat untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini mengenai sejarah perkembangan seni visual dunia. Justeru, kemahiran menggunakan Internet membolehkan guru dan pelajar mendapatkan maklumat dan pengetahuan yang terkini dengan lebih cepat serta efisien.

 

Bukan itu sahaja, penggunaan seni digital dan reka bentuk digital dalam proses PdP amat penting kerana dapat meningkatkan kemahiran guru dan pelajar. Hal ini disebabkan oleh pendedahan guru dan pelajar terhadap pelbagai peralatan dan perisian komputer seperti, papan grafik, Photoshop, MAYA dan Google Classroom. Setiap alat dan perisian komputer mempunyai berbagai fungsi dan kegunaannya yang tersendiri di mana guru dan pelajar perlu menguasai teknologi-teknologi terkini yang dapat membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang menarik seterusnya dapat menyimpan, memproses dan merekod setiap maklumat yang diperolehi. Kemahiran dalam reka bentuk digital mampu memberi nilai tambah kepada guru agar dapat menyampaikan maklumat kepada pelajar dengan lebih kreatif dan inovatif. Dalam era dunia tanpa sempadan ini guru dan pelajar perlu menggunakan setiap teknologi yang ada agar tidak ketinggalan khususnya dalam bidang pendidikan seperti PSV di mana dunia luar sudah lebih maju dalam bidang seni visual.

​

Penggunaan seni digital menggalakkan guru dan pelajar berkarya dengan bebas. Hal ini dikatakan demikian kerana Seni digital adalah perantaraan yang berkesan meluahkan daya cipta seseorang. Seorang pelukis seni digital, Amy Hashim, mengatakan bahawa dengan penggunaan peralatan komputer dan perisian yang canggih, seni digital mampu memberi kebebasan kepada pelukis untuk berkarya dengan lebih kreatif dan unik. Bukan sahaja menjimatkan masa malah lukisan melalui peralatan teknologi seperti iPad dan telefon pintar turut menjimatkan wang (Nabihah Hamid, 2015). Sebagai contoh, dalam proses PdP PSV, guru dan pelajar tidak terhad menggunakan kemudahan digital seperti ilustrasi, tipografi dan warna yang pelbagai. Oleh itu, pendedahan seni digital mampu digunakan sebagai platform untuk mengasah minda terutamanya dalam pendidikan.

​

4.0       Peranan Komunikasi Visual dan Seni Digital Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran PSV

Seni digital mengandungi elemen seperti grafik, teks, audio, animasi dan video yang memainkan  peranan sangat penting dalam proses PdP PSV.

Grafik adalah salah satu bahan bantu mengajar guru PSV yang berperanan untuk membantu menyampaikan mesej tertentu dengan jelas kepada pelajar di samping mewujudkan suasana pembelajaran yang seronok. Grafik juga dapat meringkaskan penerangan dan penilaian guru tentang sesuatu perkara. Apabila pelbagai elemen grafik seperti ilustrasi, tipografi dan simbol digunakan secara meluas dalam PdP, pelajar dapat memahami pembelajaran dengan lebih mudah dengan hanya melalui gambar. Oleh itu, proses PdP dapat berjalan dengan lancar dan berkesan serta dapat mengelakkan kekeliruan.

Seterusnya, teks berfungsi sebagai penyalur maklumat dalam proses PdP PSV. Teks memberi penekanan bagi sesuatu isi kandungan yang ingin disampaikan dan menjadi rujukan masa hadapan pelajar. Semasa mengajar, elakkan menggunakan bahan pengajaran yang menggunakan ayat yang terlalu panjang, sebaliknya gunakan ayat yang ringkas, padat dan tepat. Oleh itu, pembaca terutamanya pelajar tidak berasa jemu untuk membaca dan boleh memberi tumpuan dalam pembelajaran.

​

Di samping itu, audio berperanan untuk menyampaikan maklumat dan merupakan media yang merangsang pendengaran. Seni digital yang menggunakan audio membantu untuk meningkatkan daya tarikan terhadap persembahan pembentangan digital dan   meningkatkan motivasi pelajar agar lebih berminat mengikuti suatu proses penyampaian maklumat. Contohnya, pengaplikasian suara, suara latar dan muzik dalam pembentangan atau sesi pembelajaran kendiri pelajar. Oleh itu, penggunaan audio dalam PdP mampu menaikkan semangat guru dan pelajar serta menceriakan suasana bilik darjah.

​

Animasi berperanan untuk menyediakan visual yang lebih dinamik kepada penonton semasa PdP. Pelajar akan lebih tertarik dengan imej-imej dua dimensi yang menghasilkan ilusi pergerakan dan idea-idea fantasi yang dizahirkan ke alam realiti. Guru PSV boleh menyediakan bahan bantu mengajar berasaskan animasi seperti di YouTube bagi menyampaikan konsep-konsep yang kompleks secara visual dan dinamik. Justeru, pelajar mudah fokus dan memahami isi kandungan yang ingin disampaikan serta dapat membayangkan perkara yang sulit untuk difahami.

Akhir sekali, video memainkan peranan untuk memudahkan proses pengulangan sesi PdP PSV. Menerusi penggunaan video, sesuatu penerangan yang perlu dilakukan secara berulang-ulang boleh dilakukan dengan lebih mudah. Sebagai contoh, penerangan mengenai sesuatu proses kerja di studio boleh dirakam dan dipaparkan semula kepada pelajar bila-bila masa yang diperlukan. Pelajar juga boleh menonton klip video tersebut sebagai pembelajaran kendiri bagi membentuk kefahaman yang mendalam apabila diperlukan.

​

5.0       Kesimpulan

Kesimpulannya, seni digital sangat penting dalam kehidupan masyarakat terutamanya guru dan pelajar yang mana memerlukan bantuan daripada bahan dan alat digital dalam proses PdP zaman teknologi ini. Oleh itu, pembangunan guru dan pelajar dapat ditingkatkan ke arah kemajuan masa hadapan.

bottom of page